Friday, August 13, 2010

KITAB PUASA

Bab Larangan Menyambung Puasa Iaitu Tanpa Makan Dan Minum Pada Waktu Malam

1844. Hadis Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Para sahabat bertanya: Bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu? Nabi s.a.w menjawab: Aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Allah.

1846. Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Kemudian seorang lelaki dari kalangan orang Islam telah bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah di antara kamu yang boleh menyamai aku? Sesungguhnya di malam hari aku diberi makan dan minum olah Tuhanku. Apabila mereka tetap enggan dari mengakhiri menyambung puasa (tidak mahu berbuka), Rasulullah s.a.w sengaja membiarkannya satu atau dua hari. Namun pada hari ketiga mereka melihat anak bulan. Rasulullah s.a.w pun bersabda: Sekiranya anak bulan itu terlewat datang, tentu aku akan terus menyambung puasa kamu. Baginda seolah-olah memberi peringatan kepada mereka kerana keengganan mereka berhenti dari menyambung puasa.

1848. Hadis Anas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah mendirikan sembahyang pada bulan Ramadan. Sebentar kemudian aku datang lalu ikut berdiri di samping baginda. Kemudian datang lagi orang lain dan ikut berdiri di sampingku begitulah seterusnya sehingga jumlahnya menjadi satu kumpulan. Apabila Nabi s.a.w menyedari kami berada di belakang, baginda mempercepatkan sembahyang kemudian bergegas masuk ke rumah untuk meneruskan sembahyang. Baginda tidak lagi sembahyang bersama kami. Keesokan harinya kami bertanyakan hal itu kepada baginda: Adakah semalam engkau sengaja memberikan pelajaran kepada kami? Baginda menjawab: Betul, itulah sebab yang mendorongku melakukannya. Anas r.a berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w menyambung puasa. Hal itu terjadi di akhir bulan Ramadan. Beberapa orang sahabat juga turut menyambung puasa. Rasulullah s.a.w kemudiannya bersabda: Mengapa pula mereka mengikutku menyambung puasa, sedangkan mereka tidak seperti aku. Demi Allah! Seandainya bulan ini ditambah untukku, tentu aku akan terus berpuasa sehingga mereka yang memberati diri mereka itu berhenti dari memberati diri mereka.

No comments:

Post a Comment